Teman syurga dijemput Pencipta di saat berjuang menuntut ilmu.

Dr Siti Munirah ketika ditemuramah HE Today di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Gambar MOHE Editorial

“Ummi kena kuat,” .

Itulah antara ungkapan keramat anak kecilnya yang membuatkan Dr Siti Munirah Mohd, 30, tersedar dari tekanan yang menimpanya sekeluarga apabila suami tercinta terlibat dalam kemalangan maut ketika beliau sedang sibuk mempersiapkan diri menghadapi ‘Viva’ untuk melengkapkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Menceritakan pengalaman itu, beliau nekad untuk meneruskan pengajian PhD dalam bidang Sains Komputer di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas beberapa bulan mencari kekuatan diri untuk meneruskan kehidupan.

“Setelah beberapa bulan terhenti, saya nekad bangkit selepas anak saya sendiri yang menyakinkan diri ini untuk menjadi lebih kuat menempuh dugaan yang mendatang,” katanya.

Menceritakan semula detik cemas itu, Siti Munirah berkata, pada hari kejadian, arwah suaminya Mohd Norazizi Hamzah, 33, dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumah di Bangi ke Gombak menunggang motorsikal pada 19 Mac 2017.

Foto kenangan Dr Siti Munirah bersama Allahyarham suaminya, Norazizi Hamzah. Gambar ihsan Dr Siti Munirah

“Pada pagi itu, saya bergegas ke Hospital Serdang selepas menerima panggilan telefon mengatakan suami terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya, adakah dia selamat? Kalau terjadi apa-apa kepada suami, bagaimana dengan anak-anak? Adakah dia pakai topi keledar dengan betul?,” katanya ketika ditemui di UKM baru-baru ini.

Selepas empat hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Hospital Serdang, Norazizi pergi menemui Penciptanya.

DUGAAN

Kehilangan insan tersayang meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada Munirah.

Ia menyebabkan Munirah yang ketika itu sedang hamil empat bulan, terlalu tertekan dan membenci dirinya sendiri.

“Saya meyakinkan diri ini bahawa semua yang berlaku adalah suratan takdir, tetapi sentiasa ada suara halus yang mengatakan bahawa semuanya berpunca dari saya.

Disebabkan keghairahan saya menggenggam segulung PhD, maka suami terpaksa berulang alik dari Bangi ke Gombak setiap hari, dan disebabkan itu beliau meninggal dunia,” katanya.

Arwah Norazizi berkerja di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak.

Disebabkan terlalu emosi, Munirah dikejarkan ke hospital beberapa kali akibat pendarahan ketika mengandung.

“Ibu bapa saya terpaksa menjaga tiga lagi anak kerana takut saya tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ibu akibat dari terlalu letih dan sering menangis.

Dengan memberi masa kepada diri sendiri, Munirah fikir beliau dapat mencari kembali semangat untuk terus berjuang, tetapi sebaliknya yang berlaku apabila semakin tertekan setiap hari.

“Arwah membenarkan saya menggunakan keretanya untuk ke kelas di UKM Bangi, sedangkan beliau menempuh perjalanan jauh dan sesak dengan motorsikal.

“Dia balik kerja setiap hari dengan sakit belakang dan kadangkala basah kuyup terkena hujan. Walaupun begitu, sebaik tiba di rumah beliau terus menguruskan anak-anak supaya saya mempunyai masa untuk fokus menyiapkan kajian.

“Bukan saja memasak, beliau turut memandikan anak-anak, memberi makan dan menidurkan mereka. Selepas itu arwah akan duduk bersama berjam-jam setiap malam menemani saya menyiapkan kajian,” katanya.

Dr Siti Munirah bersama anak-anak di kediamannya di Bangi. Gambar MOHE Editorial

BANGKIT SEMULA

Munirah mengakui telah menghabiskan terlalu banyak masa mengenang arwah suaminya sehingga mengabaikan anak-anak.

“Saya terlampau merasa kehilangan sehingga menyebabkan saya banyak menghabiskan masa dengan bersendirian dan tidak dapat mencari kekuatan untuk terus berdepan dengan anak-anak.

Kadangkala terasa seperti terlalu banyak bebanan yang ditanggung dalam satu masa, saya tidak tahu bagaimana untuk bangkit semula,” katanya.

Munirah juga turut pernah mempertimbangkan untuk tidak meneruskan pengajian PhD nya.

Rakan-rakan dan penyelia PhD beliau semuanya memberikan nasihat dan kata-kata semangat, akan tetapi kata-kata perangsang anak sulungnya yang paling memberi kesan untuk membuatkan beliau kembali bangkit.

“Anak saya datang dan merenung ke dalam mata saya. Dia menyebut tiga perkataan yang menyedarkan saya dari terus berada dalam tekanan,” kata beliau.

Tersedar dari lamunannya, Munirah kembali menjumpai sebahagian daripada dirinya yang sekian lama wujud, iaitu kekuatan untuk meneruskan hidup.

Tidak kira berapa banyak air mata yang telah mengalir, beliau sedar perkara yang perlu dilakukan adalah mengubah persepsi mindanya untuk terus berjuang.

“Saya tenung mata anak saya dan ketika itu saya yakin, saya lah ‘Ummi’ dan saya perlu teruskan kehidupan,” katanya.

Munirah kembali mengingati bahawa arwah suaminya sentiasa mahu beliau menghabiskan pengajian PHDnya.

“Suami saya pemegang Diploma, tetapi beliau tidak pernah mempersoalkan keputusan saya untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD, malahan arwah memberi sokongan sejak hari pertama saya mendaftarkan diri,” jelasnya lagi.

Beliau sedar, untuk memperolehi PhD beliau perlu menghabiskan peringkat ‘Viva’ hasil kajiannya. Masa depan kerjaya dan anak-anaknya bergantung kepada ‘Viva’ itu.

MANISNYA KEJAYAAN

Hasilnya, Munirah melepasi peringkat ‘Viva’ dengan sedikit pembetulan sahaja.

Beliau diberikan masa enam bulan untuk membuat pembetulan, tetapi Munirah mengambil masa hanya sebulan sahaja.

Setelah lima tahun berjuang mendapatkan PhD, akhirnya Munirah berjaya bergraduasi pada 28 Oktober 217 dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah Industri Komputer dari UKM.

“Saya mengambil masa lima tahun menyiapkan PhD kerana dua kali mengandung dan perlu mengambil masa untuk pulih selepas melahirkan anak,” katanya.

“Saya percaya semua insan berdepan dengan pelbagai cabaran tersendiri, tetapi jika kita menetapkan hati untuk berjuang mendapatkan PhD, kita perlulah menamatkannya walau apa pun rintangan yang datang,” katanya.

Munirah mengakui terdapat pelbagai stigma yang membelenggu kehidupan seorang penuntut PhD, salah satu daripadanya adalah PhD hanya untuk mereka yang terpilih sahaja – golongan ‘bijak pandai’.

Dr Siti Munirah (empat, kiri) bersama panel dan penyelia thesis beliau selepas sesi VIVA. Gambar ihsan Dr Siti Munirah

“Bagi saya, PhD bukan hanya memfokus kepada kebijaksanaan seseorang sahaja, tetapi lebih kepada kebolehan seseorang itu untuk bangkit semula selepas menempuh pelbagai rintangan.

Saya merasakan diri ini sangat rapuh, sehingga ke satu tahap saya hilang keyakinan terhadap kajian dan kualiti kerja yang telah saya lakukan.

Pelbagai perkara yang telah saya tempuhi untuk meyakinkan kembali diri ini untuk meneruskan PhD,” katanya.

Menyiapkan PhD sering menjuruskan diri kita kepada kesabaran, ketabahan dan ketahanan.

“Banyak perkara yang akan mengakibatkan anda terkejut dan meletihkan, bahkan adakalanya pelbagai rintangan terpaksa dihadapi.

Namun penting untuk kita sentiasa mengingati bahawa tidak salah untuk seseorang itu mencari bantuan dan sokongan.

“Bantuan itu boleh hadir daripada ahli keluarga, teman rapat, penyelia, malah anak yang hanya berumur lima tahun. Jangan hanya berdiam diri walhal anda boleh mendapatkan bantuan,” katanya.

Fasa kehidupan selepas pemergian arwah suaminya telah banyak mengajar Munirah tentang kehidupan.

“Walaupun saya mengajar diri untuk terus tabah, kadangkala saya turut berasa lemah.

Rintangan tersebut tidak akan menjadi lebih mudah begitu sahaja, namun perasaan lemah itulah yang memberikan saya kekuatan baru untuk bermula lagi.

“Saya kehilangan insan yang tersayang, tetapi saya berjanji pada diri ini, walau apa pun rintangan yang datang, saya tidak akan kehilangan diri sekali lagi,” tambahnya.

Munirah yang berkhidmat sebagai Pembantu Penyelidik di UKM, baru sahaja ditawarkan tempat sebagai pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

 

Click for ENGLISH